Videos

header ads

Syed Ali Ketua UMNO Bahagian Cheras Umum Bersara 2016


Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengejutkan berbagai pihak selepas mengumumkan akan berundur dari jawatannya pada tahun 2016.

"Saya akan bersara sebagai Ketua UMNO Bahagian Cheras pada 2016, saya sahut saranan pucuk pimpinan yang mahu perubahan drastik dalam parti dan memberi laluan kepada golongan muda," tegas beliau.

Beliau menjelaskan, hasratnya untuk bersara daripada jawatan Ketua UMNO Bahagian sudah lama dibuat bagi memberi laluan kepada generasi muda dalam parti.
"Hari ini, saya umumkan untuk bersara pada 2016, sejajar dengan saranan dan harapan pucuk pimpinan UMNO yang mahu parti berubah," tegasnya dalam pengumuman yang dibuat dalam blog rasmi UMNO bahagian Cheras.

"Kita kena buktikan kepada pucuk pimpinan, buktikan kepada rakyat bahawa kita tidak bercakap kosong, apabila perlu, kita harus letak jawatan secara terhormat demi masa depan UMNO.

Beliau menjelaskan, sudah sampai masanya UMNO berubah secara drastik bagi memastikan parti seiring dengan perubahan masa dan memenuhi aspirasi golongan muda.

Oleh sebab itu katanya, beliau menyokong penuh saranan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar orang lama mesti memberi laluan kepada orang muda.

"Saya mengambil saranan tersebut dengan penuh tanggungjawab, maka saya akan melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Cheras pada 2016," tegasnya.

"Biar ahli-ahli parti yang buat keputusan untuk pilih siapa yang layak dalam pertandingan jawatan Ketua Bahagian (Cheras) itu kelak.

Ujar beliau lagi, tanpa memegang jawatan penting dalam UMNO seseorang itu masih lagi boleh memberi khidmat bakti dan sumbangan kepada parti.

"Mungkin juga saya boleh berperanan sebagai penasihat UMNO Bahagian, beri tunjuk ajar untuk memantapkan lagi perjuangan UMNO," katanya.

Syed Ali menjelaskan, pemimpin UMNO terutama yang sudah lama memegang jawatan perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani oleh golongan muda,.

"Kalau sudah lama pegang jawatan, eloklah bersara, beri laluan kepada pemimpin pelapis, kita tidak perlu tamak, jangan sekat dan halang mereka (anak muda)," katanya.

Golongan muda kata beliau, sewajarnya diberikan peluang dan tempat dalam UMNO kerana mereka yang akan mencorakkan masa depan parti dan negara.

"Golongan muda juga merupakan jumlah pengundi terbesar dalam Pilihan Raya Umum, oleh sebab itu kepimpinan parti handaklah disesuaikan dengan citarasa mereka," katanya.

Menurut beliau lagi, tidak ada gunanya pemimpin UMNO bercakap mengenai perubahan dan peremajaan parti tetapi enggan berundur secara terhormat.

Oleh sebab itu kata Syed Ali, beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Cheras kerana berpendapat sudah sampai masanya untuk berbuat demikian.

"Apabila kita liat untuk melepaskan jawatan, akan menimbulkan pelbagai persespsi negatif daripada rakyat terutama generasi baru dalam UMNO," ujarnya.

Menurutnya, UMNO memerlukan pemimpin yang ikhlas, jujur dan bertanggungjawab kepada UMNO serta tidak menjadikan parti sebagai platform mengumpul kekayaan.

"Perjuangan kita dalam UMNO adalah untuk orang Melayu, untuk bangsa, agama dan negara," ujarnya sambil berkata parti akan menjadi lemah jika ditunjang oleh mereka yang berkepentingan.

Tambah beliau, UMNO akan kekal relevan dan dekat di hati rakyat jika pemimpinnya tidak mempamerkan sikap yang negatif.

Sehubungan itu katanya, perubahan drastik dalam UMNO seperti yang disarankan oleh Muhyiddin tidak akan menjadi kenyataan selagi masih ada pemimpin yang liat untuk menerima perubahan tersebut.

Syed Ali menegaskan, perubahan drastik hanya boleh berlaku jika pemimpinnya ikhlas dan tawaduk dalam perjuangan tanpa memikirkan agenda peribadi.

Beliau menyambut baik ketegasan Muhyiddin yang mahukan UMNO melakukan perubahan secara darstik jika ingin kekal relevan,

"Tetapi saya juga khuatir harapan itu akan tinggal harapan selagi masih ada pemimpin parti yang sukar untuk menerima saranan tersebut," tegasnya.

Tambah beliau, pemimpin UMNO disemua peringkat perlu mengambil serius harapan dan ketegasan Timbalan Presiden parti dan sewajarnya diterjemahkan menerusi tindakan dan bukannya cakap-cakap kosong atau berterorik.

Jelas beliau lagi, UMNO akan kekal relevan dan disantumi oleh orang Melayu jika pemimpinya ikhlas, telus dan berjiwa rakyat serta setiap tindakannya tidak dibayangi oleh kepentingan diri.

"Saya tertarik dan menyokong penuh peringatan Muhyiddin yang antara lain mahu budaya pak turut, lambung, ampu dan sabotaj perlu dihapuskan, inilah sebahagian daripada sindrom yang menjadi virus kepada UMNO," tegasnya.

Beliau mengulas ucapan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika berucap merasmikan serentak perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Timbalan Presiden UMNO itu antara lain menegaskan parti mesti melakukan perubahan drastik jika ingin kekal relevan dengan peredaran masa termasuklah membuang budaya negatif.

"Oleh itu ahli-ahli UMNO perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya sebuah parti yang lesu, tidak mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung dan budaya ampu," tegas Muhyiddin.-27/11/2014

Post a Comment

0 Comments