Videos

header ads

Mat Salleh Tak Duduk Malaysia Boleh Cakap Melayu Tapi Orang Cina Sini?


Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2015 (PABM) telah melabuhkan tirai pada Sabtu lalu memperlihatkan agenda memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa mampu direalisasikan. Rakyat Malaysia harus rasa bangga terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang telah menyerantau ke seluruh pelosok dunia. 

Penyertaan pada tahun ini memperlihatkan wakil negara yang mengambil bahagian telah meliputi semua enam benua. Pidato ini bertemakan “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”, adalah satu acara tahunan pidato Bahasa Melayu yang terulung yang bermatlamat untuk memartabatkan citra dan kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia.

PABM dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Pelancongan manakala AG Bestari Events Sdn Bhd dilantik selaku pengurus acara dan bertindak sebagai Sekretariat PABM. Kabinet Malaysia dalam mesyuaratnya pada tahun 2008 telah bersetuju untuk memberikan penarafan “Projek Nasional” kepada PABM bersesuaian dengan prestijnya sebagai satu-satunya acara pidato bahasa Melayu yang terulung di dunia.

Joshua Parfitt dari United Kingdom dinobatkan sebagai juara kategori antarabangsa pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2015 yang berakhir pada 8 Ogos yang lalu.

Sementara itu, Emma Cecilia Roberts dari Australia pula, terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib johan manakala Wyatt Evan Gordon dari Amerika Syarikat di tempat ketiga.

Keputusan tersebut sekali gus menunjukkan pemidato berkulit putih memonopoli kategori antarabangsa PABM 2015 sementara peserta dari Asia dan Afrika gagal memasuki pertandingan akhir.

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai AS$7,000 (RM27,500), Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah sampingan dan sijil manakala naib johan membawa pulang hadiah wang tunai AS$5,000 (RM19,600). Pemenang tempat ketiga pula membawa pulang AS$3,000 (RM11,700).

Hadiah telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dengan diiringi timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Sementara itu, Mohd. Akmal Aizat Umar dari Malaysia muncul juara dalam kategori Alam Melayu menumpaskan rakan senegara, Then Siaw Lian (naib johan) dan Awabeen Samsuding dari Thailand (tempat ketiga).

Dalam kategori pelajar asing Malaysia pula, Mahmoud Abdel Fattah Ibrahim Essa dari Mesir muncul juara, Waleed Basil Mohammed Ali dari Iraq (naib johan) dan Maher G.M. Abdolrasol dari Libya (tempat ketiga).

Post a Comment

0 Comments