Videos

header ads

Kemalangan Di #LPT2 Berpunca Gangguan Makhluk Halus?



Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak menolak kemungkinan wujudnya gangguan makhluk halus di laluan itu.

Umum mengetahui LPT2 dicop sebagai ‘lebuh raya berhantu’ rentetan kes kemalangan maut yang berterusan berlaku di laluan sepanjang 184 kilometer itu sejak dibuka sehingga sekarang.

Jolokan itu diberi orang ramai kerana bagi segelintir mereka kemalangan meragut nyawa yang berlaku itu bukan semata-mata berpunca daripada faktor yang boleh dilihat dengan mata kasar sahaja sebaliknya ia turut berkait dengan gangguan makhluk ghaib.
Perihal LPT2 yang kononnya ‘keras’ dan punya ‘penunggu’ juga turut rancak diperkatakan di media sosial terutama di Facebook, malah ada netizen yang tampil menceritakan kisah seram yang pernah dialami untuk peringatan pengguna LPT2 yang biasa menggunakan laluan itu dan perkongsian kisah seram itu turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagi mengetahui sejauh mana dakwaan berkenaan, Sinar Harian mengupas isu tersebut dan berjumpa dengan mangsa kemalangan dan pengguna LPT2 yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Rata-rata mereka tidak menolak kemungkinan kemalangan turut dipengaruhi faktor gangguan makhluk halus berdasarkan pengalaman seram yang pernah dilalui.

Nampak langsuir bergayut pada papan tanda elektronik

Isteri peneroka Felda Neram 2 Kemaman, Senani Omar, 53, berkata, kereta yang dinaikinya sekeluarga nyaris terbabas selepas anak lelakinya yang memandu terkejut melihat lembaga perempuan berbaju putih labuh dan berambut panjang sedang bergayut pada papan tanda elektronik atau VMS.

Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam berdekatan kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing LPT2 pada awal September lalu semasa mereka empat beranak dalam perjalanan balik dari Kuantan ke rumah mereka di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru.

“Waktu itu makcik duduk di tempat duduk penumpang depan. Tapi semasa tiba di kawasan Plaza Tol Jabor, makcik bersama menantu dan seorang lagi anak yang duduk di belakang tertidur.

“Hanya beberapa ratus meter untuk sampai di depan R&R Perasing, anak makcik, Wan Shahdillah Wan Abdullah, 28, yang memandu itu tiba-tiba nampak langsuir sedang tergantung pada VMS hingga dia terperanjat dan kereta Proton Wira kami hampir terbabas ke kanan jalan. Ketika itu, VMS itu gelap dan tak ada tulisan cerah seperti biasa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan panik berkenaan mereka bernasib baik kerana laluan itu lengang dan anaknya yang bekerja sebagai pemandu lori sawit sempat mengawal stereng dan berhenti seketika di lorong kecemasan.

“Nasib baiklah hanya selang beberapa saat lepas nampak langsuir itu ada bas ekspres yang lalu jadi anak makcik terus memandu dengan mengekori belakang bas hingga tiba ke susur keluar Plaza Tol Cheneh,” katanya.

Namun, ibu sembilan anak itu berkata, anak keempatnya itu tidak menceritakan kejadian itu kepadanya sebaik dia tersedar dari tidur apabila sudah tiba di rumah kira-kira jam 11.30 malam.

“Dia cuma cerita pagi esoknya dan hari itu juga dia ambil cuti kecemasan," katanya.

Post a Comment

0 Comments