Videos

header ads

Wahai SPAD, Bas Usang Merosakkan Imej Negara


Mutu perkhidmatan bas henti-henti di negara ini semakin menunjukkan kemajuan apabila sistem bas Bus Rapid Transit (BRT) di Bandar Sunway, Selangor diperkenalkan serta bas dua tingkat di beberapa laluan tertentu baru-baru ini.

Namun begitu masih terdapat ruang untuk diperbaiki oleh pengusaha bas henti-henti yang beroperasi di Kuala Lumpur terutama bagi syarikat-syarikat yang selain RapidKL.

Tanpa perlu menyebut nama syarikat berkenaan, warga kota telah sedia maklum bahawa meskipun Malaysia bakal menuju status negara maju dalam jangka masa lima tahun lagi masih terdapat syarikat bas yang menggunakan bas usang berusia lebih 20 tahun dan ke atas.
Bas-bas tersebut bukan sahaja menambahkan lagi kemerosotan kualiti udara di ibu negara dengan membebaskan asap hitam pekat malah turut mengakibatkan pencemaran bunyi daripada enjinnya yang begitu bingit.

Agak menghairankan juga bagaimana operasi bas seperti itu boleh diluluskan kerana jelas sesetengahnya nampak begitu uzur dan kotor.

Terdapat juga bas yang beroperasi tanpa sistem pendingin hawa. Bas tanpa sistem pendingin hawa adalah sangat tidak sesuai dengan cuaca negara ini yang panas dan sering pula dilanda jerebu.

Paling penting imej negara perlu dipelihara kerana bas-bas usang itu sering beroperasi di laluan yang menjadi tumpuan pelancong asing terutamanya sekitar KLCC dan Bukit Bintang.

Tidak dinafikan juga perniagaan perkhidmatan bas henti-henti selalu mengalami kerugian dan mungkin disebabkan itu syarikat berkenaan tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli bas baharu yang lebih selesa kepada penumpang.

Oleh itu dicadangkan supaya kerajaan memperuntukkan dana pinjaman mudah kepada pengusaha bas untuk membeli bas baharu yang lebih selesa.

Syarikat ini juga dicadangkan untuk membentuk satu konsortium bagi menggembleng modal dan sumber manusia bagi menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang di bawah satu jenama. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) digesa memperkenalkan model ala ‘Mybas’ di Lembah Klang iaitu dengan memberi bayaran tetap kepada pengusaha bas henti-henti untuk perkhidmatan yang disediakan.

Pihak berkuasa juga disarankan agar memberi subsidi bahan api daripada jenis Diesel Euro 5 kepada semua syarikat bas yang beroperasi di Lembah Klang selain menggalakkan penggunaan bas berkuasa gas asli (NGV), hibrid dan elektrik bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dan bahan pencemar lain ke ruang udara ibu negara.

Contohilah bandar-bandar di negara maju yang cukup tegas dalam mengawal pelepasan asap daripada kenderaan di bandar. Singapura sebagai contoh telah menguatkuasakan had pelepasan asap hitam terhadap kenderaan berenjin diesel termasuk bas dan lori dari Malaysia yang memasuki republik berkenaan.

Adalah diharapkan agar perkhidmatan bas di Kuala Lumpur berada sama taraf dengan kecanggihan pengangkutan rel di bandar raya ini.

Post a Comment

0 Comments