Videos

header ads

Tren LRT #RapidKL 'Tergelincir', Penumpang Selamat


Sebagai persediaan untuk pembukaan fasa kedua Projek Penyambungan Jajaran LRT (LEP) Laluan Ampang pada 31 Mac ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini melaksanakan Pelan Tindakan Kecemasan, yang melibatkan penglibatan penuh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba, pasukan perubatan dan agensi-agensi kecemasan lain di stesen baru IOI Puchong.

Dilaksanakan di bawah pengawasan para pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pelan Tindakan Kecemasan atau ‘Emergency Response Plan’ (ERP) itu bersenariokan insiden sebuah tren tergelincir sekali gus menyebabkan kecederaan kepada sembilan daripada 100 penumpang yang berada di dalam tren ketika itu.

Sementara para penumpang lain berjalan keluar daripada tren ke stesen dengan bimbingan staf Rapid Rail, mereka yang cedera diberikan rawatan kecemasan sebelum dibantu turun oleh anggota bomba dan dibawa ke hospital dengan ambulans.

Bermula pada 10 pagi, latihan simulasi itu berlangsung selama satu setengah jam sebelum diisytiharkan tamat pada 11.30 pagi.

Berucap sebelum latihan simulasi dimulakan, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Haji Ahmad Nizam Mohamed Amin mengingatkan tentang pentingnya aspek keselamatan diberi perhatian pada setiap masa.

“Urusan keselamatan ini, jangan sesekali kita ambil mudah. Sekali berlaku, walaupun kecil, akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada perkhidmatan kita. Bukan mudah untuk memenangi kepercayaan orang awam kembali.

“Sentiasa ingatkan moto Rapid Rail semasa bertugas – tiada kerja yang terlalu penting sehingga kita mengabaikan keselamatan,” kata beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif PRAISE, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman pula berkata latihan simulasi itu adalah penting untuk menguji tahap kesediaan dan kelulusan pembukaan fasa kedua LEP Laluan Ampang, yang dijadualkan pada 31 Mac ini.

“Ujian ini perlu untuk SPAD menyediakan laporan lengkap kepada Kerajaan bagi mendapat kelulusan bagi pembukaan laluan berkenaan. Latihan simulasi ini juga akan membantu pihak polis dan bomba untuk lebih mengenali tentang fasiliti-fasiliti di stesen-stesen kita,” kata Ir. Zohari.


PRAISE, atau Prasarana Rail and Infrastructure Project Sdn Bhd, adalah anak syarikat Prasarana yang dipertanggungjawab untuk mengendalikan projek-projek infrastruktur pengangkutan awam seperti LEP.

Selain Laluan Ampang, projek penyambungan jajaran LRT ini turut melibatkan Laluan Kelana Jaya daripada Kelana Jaya ke Putra Heights dan akan dibuka sepenuhnya pada 30 Jun ini. Untuk Laluan Kelana Jaya, latihan simulasi ERP akan diadakan pada 14 April ini di stesen Subang Alam.

Post a Comment

0 Comments