Videos

header ads

Kita Pun Mahukan Perkhidmatan Bas Bersistematik Seperti RapidKL


SAUDARA PENGARANG,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka kerana berjaya menarik ramai pelabur dalam serta luar negara untuk merancakkan sektor ekonomi negeri Melaka terutama sekali sektor pelancongan. Kesannya pada hari ini kemajuan pembangunan dan infrastruktur di Melaka hampir setaraf dengan bandar raya utama di negara ini seperti Kuala Lumpur.

Bagaimanapun dalam sektor pengangkutan awam Melaka perlu memperhebatkan lagi sistem sedia ada bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke Melaka selain dapat merasai kemudahan sistem pengangkutan awam yang lebih berkesan dari segala segi. Antaranya seperti ketepatan masa melalui jadual perjalanan lebih bersistematik.

Sebagai penduduk Melaka, kita sedia maklum bahawa kebanyakan jalan raya di negeri ini akan menjadi begitu sesak dengan kebanjiran kenderaan apabila tibanya waktu puncak atau cuti am, bahkan pada hari biasa pun keadaannya hampir sama.

Pada hemat saya, sebagai anak jati negeri ini, saya begitu bangga dengan perubahan positif yang berlaku pada Melaka. Mana tidaknya majoriti rakyat Malaysia akan menjadikan Melaka sebagai destinasi utama untuk bercuti bersama rakan-rakan mahupun kaum keluarga.

Bahkan di Melaka terdapat banyak hotel antarabangsa bertaraf lima bintang serta hotel-hotel bajet serta pusat membeli-belah yang secara langsung akan menarik lebih ramai pelancong mengunjungi negeri ini.

Oleh itu pada pendapat saya, sudah tiba masanya kerajaan negeri Melaka melantik sebuah syarikat yang mampu menguruskan pengangkutan awam di Melaka dengan lebih baik. Contoh paling dekat adalah RapidKL. Ini kerana RapidKL begitu berdaya maju dalam soal menguruskan pengangkutan awam negara seperti bas, LRT, monorel, BRT Sunway dan yang terbaharu KVMRT (Klang Valley Mass Rapid Transit).

RapidKL juga telah berjaya melebarkan sayap perniagaannya ke negeri-negeri lain di bawah jenama RapidPenang untuk Pulau Pinang, RapidKuantan untuk Pahang dan akan ada RapidIpoh untuk negeri Perak. Melaka sepatutnya perlu ada perkhidmatan seperti Rapid bagi membolehkan pengangkutan awam di negeri ini lebih efisien.

Seringkali juga saya menerima makluman yang kurang senang daripada rakan-rakan yang pernah berkunjung ke Melaka tentang kemudahan pengangkutan awam di sini terutamanya bas. Kadangkala bas awam yang dinaiki itu tidak begitu selesa, pendingin hawa tidak berfungsi serta jadual perjalanan bas dan kekerapan bas tidak begitu sistematik.

SAYANG MELAKA

Melaka

Sumber : Utusan Malaysia

Post a Comment

0 Comments