Monday, May 2, 2016

400 Pemandu #Uber #PulauPinang Lancar Mogok

GEORGETOWN: Perkhidmatan kereta sapu profesional Uber di Pulau Pinang hampir lumpuh selepas 400 pemandunya melancarkan mogok sejak Jumaat lalu, akibat tidak berpuas hati dengan bayaran yang diterima.

Syarikat itu yang menawarkan potongan harga kepada pelanggan sempena sambutan setahun perkhidmatannya di sini, didakwa hanya mengenakan caj antara 40 sen hingga 60 sen bagi setiap kilometer sahaja kepada penumpangnya ketika ini.
Salah seorang pemandunya dikenali sebagai Yusof Yahaya, 44, berkata tawaran 'istimewa' kepada pelanggan itu dianggap membuli kelompok pemandu yang dipaksa menerima bayaran terlalu rendah.

"Sejak Jumaat lalu, majoriti pemandu aktif Uber di Pulau Pinang menyatakan bantahan dengan tidak memberi perkhidmatan kerana bayaran kami dipotong sehingga lebih 25 peratus.

"Semalam (Sabtu), saya mengambil penumpang daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang mahu ke Tanjong Bunga, dan hanya dibayar RM16 sedangkan kami sepatutnya menerima RM20," katanya ketika dihubungi BH.

Difahamkan sepanjang tempoh promosi ini, Uber mengenakan caj istimewa bagi menghargai pelanggannya, namun kadar itu dijangka kembali normal selepas sambutan ulang tahun pertamanya tamat minggu ini.

Berikutan itu, Yusof menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan Uber yang didakwa mengaut keuntungan besar daripada kerugian yang terpaksa ditanggung pemandunya.

Beliau turut mendakwa, lebih 40 pemandu Uber Pulau Pinang ditamatkan perkhidmatan selepas pihak pengurusan syarikat mengesan cubaan mereka mengadakan bantahan secara beramai-ramai.

Sementara itu, wakil Uber yang dihubungi enggan memberi sebarang komen dan meminta pemandu yang tidak berpuas hati menunggu sehingga esok (Selasa) berikutan cuti umum ketika ini.

No comments:

Post a Comment