Videos

header ads

Ketua #SPRM TS Abu Kassim Tamat Jawatan


KENYATAAN MEDIA KSN

Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan YBhg. Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed untuk menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai 1 Ogos 2016 dengan memberi sebulan notis. YBhg. Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga beliau bersara wajib pada 5 Disember 2020.
2. Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed yang telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Dalam tempoh menerajui SPRM sejak 1 Januari 2010, SPRM telah melaksanakan fungsi-fungsinya dengan cemerlang selaras dengan visinya untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi.

3. Kerajaan juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed atas pelantikan beliau sebagai anggota fakulti (pakar jemputan) International Anti-Corruption Academy, Austria, iaitu sebuah institusi pengajian anti-rasuah yang unggul di dunia, di bawah tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Selain itu, beliau juga akan menyumbang pengalaman dan kepakarannya sebagai perunding di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Di peringkat antarabangsa, beliau akan terus memegang jawatan sebagai Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities dan Ahli Board of Governance, International Anti-Corruption Academy, Austria sehingga tamat tempoh pelantikan tersebut.

(TAN SRI DR. ALI BIN HAMSA)
Ketua Setiausaha Negara,
23 Jun 2016

Post a Comment

0 Comments